Tuesday, October 21, 2014

Pertarungan Nabi Daud vs Goliath (Jalut)

By malaysiaisme | At 5:17 AM | Label : , , | 0 Comments
Kisah Pertarungan Nabi Daud vs Jalut. Bukan sekadar sumber motivasi. Kisah Nabi pembangkit Semangat. Memberikan Harapan semoga terbuka jalan Perjuangan. Bukan sekadar pembakar semangat bahawa yang lemah boleh menewaskan yang kuat. Simbolik Kisah pertarungan agung David and Goliath.

Pertarungan Nabi Daud vs Goliath (Jalut)

Ada sesuatu yang sangat istimewa dengan sosok yang bernama Daud a.s. itu. Di dalam Quran, disebutkan dengan ringkas betapa Nabi Daud a.s. telah berjaya menewaskan Jalut.

"Maka mereka mengalahkannya dengan izin Allah, dan Daud membunuh Jalut."
— al-Baqarah, 2:251

Di dalam al-Quran, tidak dikisahkan kepada kita secara panjang lebar Kisah Pertarungan antara Nabi Daud dan Goliath (Jalut) ini. Namun daripada sumber Bible misalnya, kita dapat mengetahui dengan lebih terperinci kisah yang diangkat sebagai kisah pertarungan agung David and Goliath.

Nabi Daud a.s. hanyalah seorang pengembala kambing (seperti kebanyakan Nabi dan Rasul yang lainnya) apabila baginda menawarkan dirinya untuk bertarung satu lawan satu dengan Jalut.

Siapakah Jalut

Jalut adalah ketua bangsa Phillistine yang berasal dari Crete. Jalut mempunyai impian untuk menakluk dan menghancurkan kerajaan Bani Israil yang ketika itu dipimpin oleh Thalut. Jalut sendiri adalah seorang yang gagah perkasa malah luar biasa besarnya, dengan ketinggian sekurang-kurangnya enam kaki sembilan inci. Mak kau!

Ibnu Jarir telah menyebutkan dalam kitab Tarikh-nya bahawa Jalut ketika berperang dengan Thalut, telah berkata; "Keluarkanlah kepadaku (seseorang untuk bertanding), maka akan aku keluarkan (seseorang untuk bertanding) denganmu." Thalut lantas menyemarakkan semangat orang ramai dan Daud a.s. pun terpanggil dan akhirnya Daud a.s dapat membunuh Jalut.

Di dalam Naratif Bible, diceritakan bagaimana Jalut dibunuh Daud a.s. dengan hanya menggunakan lastik dan batu. Hanya Lastik dan batu! Hebat!

Simbolik Kisah David vs Goliath

Sehingga ke hari ini, Kisah David melawan Goliath ini diangkat sebagai sebuah Kisah Simbolik yang menggambarkan betapa golongan yang lemah boleh mengalahkan golongan yang jauh lebih kuat. Ia diceritakan turun temurun sebagai motivasi bahawa golongan yang tertindas sebenarnya bisa sahaja menewaskan golongan di atas.

Namun ada ibrah yang lebih besar daripada itu. Ada sesuatu yang jauh lebih mengagumkan dengan kisah Daud a.s. menewaskan Jalut ini.

Ia bukan sekadar motivasi bahawa yang lemah boleh menewaskan yang kuat. Ia bukan sekadar kisah hebat bagaimana seorang pengembala kambing berjaya menumpaskan seorang panglima perang yang gagah perkasa dan baginda akhirnya diangkat menjadi raja. Ia sebuah kisah keimanan. Ia sebuah legasi ketauhidan. Dan ia sebuah catatan kebenaran.

"Kemudian apabila Thalut keluar bersama-sama tenteranya, berkatalah dia, 'Sesungguhnya Allah akan menguji kamu dengan sebatang sungai, oleh itu sesiapa di antara kamu yang meminum airnya maka bukanlah dia dari pengikutku, dan sesiapa yang tidak meminumnya maka sesungguhnya dia dari pengikutku, kecuali orang yang menceduk satu cedukan dengan tangannya.' Tetapi mereka meminum juga dari sungai itu (dengan sepuas-puasnya), kecuali sebahagian kecil dari mereka. Setelah Thalut bersama-sama orang-orang yang beriman menyeberangi sungai itu, berkatalah mereka (orang-orang yang meminum sepuas-puasnya), 'Kami pada hari ini tidak terdaya menentang Jalut dan tenteranya.' Berkata pula orang-orang yang yakin bahawa mereka akan menemui Allah: 'Betapa banyak (yang pernah terjadi), golongan yang kecil berjaya menewaskan golongan yang besar dengan izin Allah; dan Allah (sentiasa) bersama-sama orang-orang yang sabar.'"
—al-Baqarah, 2:249

Daripada ayat ini, tahulah kita bahawa Daud a.s. tergolong dalam pengikut Thalut yang tahan ujian dan dugaan. Betapa baginda termasuk dalam golongan "...yang yakin bahawa mereka akan menemui Allah." Dan baginda juga termasuk sebagai mereka yang disifatkan penyabar oleh Allah.

Di dalam suatu riwayat, disebutkan bagaimana daripada puluhan ribu tentera Thalut, kurang lebih tiga ratus sahaja yang tinggal setelah tewas dengan ujian sebatang sungai itu. Daud a.s. sayugia bukan calang-calang orang. Dia termasuk dalam golongan jundullah yang tsabat, setelah ditapis sendiri oleh Allah!

Sebelum saya meneruskan dengan kisah Daud a.s., saya ingin mengajak anda untuk membayangkan diri kita berada di tempat para pengikut Thalut. Berada di dalam suasana perang yang dahsyat, dengan pihak musuh yang gagah dan hebat. Perjalanan yang panjang, jauh dan panas, ditambah pula dengan berkecamuknya emosi yang tidak tahu apakah kesudahan perang yang bakal berlaku.

Nah, sebatang sungai yang jernih airnya, yang sejuk lagi menyegarkan, terbentang di hadapan mata. Sungai yang menawarkan kerehatan dan ketenangan. Yang dapat menghilangkan rasa haus, yang dapat mengubat kecelaruan perasaan.

Sekiranya kita berada di tempat mereka, agak-agaknyalah kan, adakah kita akan termasuk dalam golongan "...sebahagian kecil daripada mereka" atau mereka yang mengatakan, "Kami pada hari ini tidak terdaya menentang Jalut dan tentera mereka"?

Kemudian datanglah sebuah goncangan yang maha dahsyat kepada sistem kepercayaan kita selama ini. Apa yang kita tahu dan faham dengan lumrah alam ini tergugat dengan sepotong ayat yang bermaksud:

"Betapa banyak golongan yang kecil mengalahkan golongan yang besar, dengan izin Allah."

Apakah kepercayaan kita selama ini? Apakah pemikiran yang tertanam di dalam otak kita semenjak kita mengenali dunia? Bahawa yang kuat pasti akan selalu menang. Betapa yang besar dan gagah itu tidak mungkin akan ditumpaskan. Yang kaya, berpengaruh dan hebat itu pasti akan selalunya berada di atas.

Tetapi ayat ini menafikan sangkaan kita. Ayat ini menidakkan sesuatu yang selama ini kita yakin adalah sebahagian daripada hukum alam. Betapa banyak. Maknanya berulang-ulang kali di dalam sejarah ketamadunan manusia, golongan kecil telah berjaya menewaskan golongan yang lebih banyak, besar dan kuat.

  • Perang Badar, tiga ratus tiga belas mengalahkan seribu.
  • Perang Khandaq, tiga ribu mengkucar-kacirkan sepuluh ribu.
  • Perang Mu'tah, tiga ribu menumpaskan dua ratus ribu.
  • Perang Yarmouk, empat puluh ribu menang dengan empat ratus ribu.
  • Perang Qadisiyah, empat puluh lapan ribu menewaskan seratus tiga puluh ribu.

Melihatkan keadaan umat Islam pada hari ini, seolah-olahnya tiada harapan lagi untuk kita bukan? Umat Islam yang sentiasa ada sebab untuk bercakaran dan bertelagah sesama sendiri. Umat Islam yang miskin, baik dari segi harta, kekuatan tentera mahupon akhlak. Umat Islam yang sentiasa dipijak dan dihenjak oleh musuh-musuh yang kelihatannya bersatu untuk menghancurkan kita.

  • Siapalah umat Islam jika hendak dibandingkan dengan kekuatan tentera dan harta Amerika dan koncon-konconya itu?
  • Siapalah umat Islam jika mahu dibandingkan dengan kekuasaan dan keperkasaan China itu?
  • Siapalah umat Islam jika mahu dibandingkan dengan kelicikan dan kehebatan Yahudi itu?
  • Siapalah kita di sebalik semua ini? 
  •  Masih ada harapankah untuk kita mengembalikan kegemilangan Islam?

"Betapa banyak golongan yang kecil mengalahkan golongan yang besar, dengan izin Allah."

Ya! Harapannya ada! Kerana berkali-kali kita sudah dipertontonkan pada layar sejarah dunia, betapa banyak golongan yang kecil mengalahkan golongan yang besar! Betapa banyak kelompok yang lemah menumpaskan kelompok yang lebih kuat! Betapa banyak kumpulan yang di bawah dapat menjatuhkan mereka yang di atas!

Kuncinya pada jiwa itu! Ya, kita mungkin kecil, tapi hati kita kena besar! Ya, kita mungkin lemah, tapi semangat kita mesti kuat! Ya, kita mungkin sedikit, tapi kesungguhan kita itu mesti banyak! Allahu akbar! Walillahil hamd!

Namun apa syaratnya? Biidznillah. Dengan izin Allah!
Ya, semua ini mustahil kalau bukan kerana izinNya! Mana mungkin golongan yang kecil bisa mengalahkan golongan yang lebih besar kalau bukan kerana pertolongan dan inayah daripadaNya? Mustahil untuk golongan yang lemah, yang tidak punya apa-apa mahu menewaskan mereka yang jauh lebih berkuasa dan berpengaruh, kalau bukan dengan kehendakNya?

"Dan ketika mereka maju melawan Jalut dan tenteranya, mereka berdoa, 'Ya Tuhan kami, limpahkanlah kesabaran kepada kami, kukuhkanlah langkah kami dan tolonglah kami menghadapi orang-orang kafir.'"
—al-Baqarah, 2:250

Tiga Formula Daud

  1. Kesabaran. 
  2. Tekad dan Jihad yang Kukuh
  3. Pertolongan dari Allah
Sesiapa sahaja boleh menang sekiranya memiliki Tiga Formula ini,dan Daud a.s. memiliki ketiga-tiganya.

Kisah Nabi Daud pembangkit Semangat. Memberikan Harapan semoga terbuka jalan kejayaan. In Sya Allah

  • Dari Daud a.s. kita belajar bahawa yang lemah itu tidak selalunya kalah.
  • Dari Daud a.s. kita belajar yang kuat itu tidak semestinya hebat.
  • Dari Daud a.s. kita belajar bahawa pejuang Allah itu mesti tahan dengan ujian.
  • Dari Daud a.s. kita belajar erti kesabaran dan keteguhan di jalan chenta para pejuang.
  • Dari Daud a.s kita belajar, kita hanya menang dengan izin Allah.

Ada sesuatu yang sangat istimewa dengan sosok yang bernama Daud a.s. itu. Di dalam Quran, disebutkan dengan ringkas betapa Nabi Daud a.s. telah berjaya menewaskan Jalut.
◄ Posting Baru
 

Kalam Dunia Kisah Duniawi

Glepor Tuktah Tuktah

BloggerAntu

Exp Copyright © 2018. Baburrahman Baburrahim - All Rights Reserved HT-Team Template by Hootoh